Monday, December 31, 2007

Kayuhan Lepas Raya/Akhir 2007

29 & 30/12/07- Setelah 10 hari tak berkayuh.
Sabtu kayuh bersama Dr. K dan Brahim di Putrajaya, sekitar PICC, Istana Melawati/Shangrila. Kemudian pulang melalui Sg Merab. Dapatlah 60km.

Ahad kayuh bersama Omar, Brahim, Matta (Faizal), Rashin, Gaweng (Saiful), Ustaz Hakim, Firdaus dan Naha dari Taman Kantan Permai TKP24. Kami (saya, Omar, Barhim & Matta) kayuh dari MTDC, UKM melalui Bangi Lama, Jalan 6 kaki (Rinching Hilir) dan kami berjumpa di Beranang. Kumpulan TKP24 berkayuh dari Kajang melalui Semenyih. Kami meneruskan kayuhan ke Mantin, Pajam dan berhenti minum pagi di Nilai 1.

Menunggu kumpulan TKP24 di Beranang.


Sarapan pagi dengan roti canai garing di Nilai Satu.

Lepas minum kami meneruskan kayuhan melalui Salak Tinggi, Jenderam dan tamat di MTDC. Kumpulan TKP24 meneruskan kayuhan ke Kajang. Terasa tegang juga otot paha setelah membuat aksi kejar mengejar dan tarik menarik sehingga mencapai kelajuan lebih 40km/jam. Satu kayuhan yang menyeronokan - campuran golongan muda dan veteran.

Isnin 31/12/07 - Aku cuti sempena hujung tahun 2007. Aku berkayuh solo menggunakan basikal gunung melalui Kajang Techpark dan lebuhraya Kajang-Seremban (sedang dalam pembinaan) hingga ke Mantin dan pulang ikut Batang Benar, Pajam, Nilai 3, Bukit Mahkota dan pekan Bangi Lama. Sakit juga otot paha berkayuh menggunakan basikal gunung sejauh 52km.
Lembu-lembu begitu selesa lepak di atas lebuhraya.


Garis kuning ialah lebuh raya Kajang-Seremban yang sedang dalam pembinaan (Dari Kajang Techpark ke Mantin). Kebanyakan jalan sudah ditar, tetapi jambatan yang melintasi jalan lama masih dalam pembinaan.

Kerosakan yang disebabkan oleh merokok: Pesanan dari doktor perubatan yang pernah membuat autopsi ke atas mayat seorang perokok tegar. Paru-paru perokok didapati penuh dengan lapisan tar yang terkumpul dari asap rokok yang disedut. Paru-paru tidak dapat mengembang atau menguncup tetapi keras dan tidak elastik. Pengalaman saya juga bila merokok, pernafasan saya tidak optimum dan terasa kepenatan bila membuat pecutan semasa berkayuh.

Joging di Perlis, Kelantan, Tgnu

21&22/12/07 (Raya kurban ke 2 & 3) - Tahun ini aku balik beraya ke rumah isteri di Perlis. Untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas aku mengambil laluan tepi pantai iaitu melalui Sabak Bernam, Setiawan, Bota (kiri atau kanan?) dan keluar untuk memasuki lebuh raya di Cangkat Jering. Selain mengelak kesesakan jalan ini juga tiada tol dikenakan.

Raya ke 2 dan ke 3 mula joging sekitar bendang padi Kg. Kechor, lebih kurang 2km dari Kangar.
Garisan kuning ialah laluan sekitar bendang padi.



Masih ada lagi rumah lama berdindingkan rumbia di Kg. Kechor.


Anak-anak seronok mandi di Sungai Besar yang merupakan sumber air yang dialirkan ke sawah padi.


23/12/07 - Raya ke 4 bertolak ke Pasir Puteh, Kelantan. Lebuh raya Sg Petani-Gerik sudah sedia digunakan, bagaimanapun peta GPS belum dikemaskini. Di lebuh raya timur-barat terutama di Jeli, banyak jalan belubang akibat hujan lebat musim tengkujuh. Tahun ini berlaku tanah runtuh yang serius di jalan Gua Musang-Jeli dan Gua Musang-Kuala Krai. Sesiapa yang pulang ke KL melalui Gerik terpaksa mengahadapi kesesakan yang teruk. Bagaimanpun sesiapa yang memelih laluan ke Terengganu seterusnya melalui Lebuhraya Pantai Timur tidak mengalami kesesakan jalan raya.

Pada hari Krismas aku dan isteri joging sekitar Kg Sungai Petai dan Gong Kedak.


26/12/07 bertolak ke Kuala Terengganu untuk mengikuti persidangan fizik PERFIK 2007. Di Terengganu makanan pilihan kami ialah sotong, ikan dan udang goreng tepung. Selain itu juga keropok lekur, nasi dagang dan pulut gaul nyior dengan ikan masin. Pulut gaul nyior + ikan kering dan nasi dagang ada disajikan untuk sarapan di Primula Beach Resort.



Kucing merayu meminta ikan yang kami makan.


27 & 28/12/07 - Joging bersama isteri sekitar pantai batu buruk seawal 0630. Yang seronoknya joging kat pantai ni, tak payah pakai kasut dan hentakan pada lutut dan tapak kaki dapat dikurangkan. Setiap kali kalau aku berpeluang menginap di hotel yang berdekatan pantai aku tidak akan melepaskan peluang untuk joging di pantai dan berenang di kolam terlebih dulu sebelum pergi sarapan walaupun untuk tempoh 15 minit atau setengah jam. Pantai Batu Buruk dengan pasir halus bersih dari pemandangan timgkat 10 Primula Beach Resort.
Pandangan dari Satelit Pantai Batu Buruk. Kolam renang Primula Beach Resort jelas kelihatan (bahagian atas tengah gambar).

Sunday, December 16, 2007

Jejak belakang UKM


Ahad 16/12/07- Aku dan Omar kayuh kat ladang kelapa sawit belakang UKM. Dapatlah berkayuh 25km hari ini. Omar tak bersemangat kayuh hari ini kerana risau lengannya yang bengkak digigit serangga yang tak diketahui semasa berkayuh semalam belum lagi lega.
Tak puas berkayuh, petang lepas asar aku berenang pula di UKM. Buat 1000m & 500m. Jumpa Sdr Azwar, cukup laju dia berenang sekarang. Tak dapat nak ikut, boleh setakat 50m saja, lepas tu rasa tercungap/sesak semacam.

UKM-Bagan Lalang


Sabtu 15/12/07 - Aku, Omar, Fadhil dan Zamani kayuh ke Bagan Lalang. Kami singgah sarapan di Salah Tinggi makan capati sardin/kambing, sedap!!! Zamani belanja. Zamani tidak meneruskan kayuhan ke Bagan Lalang kerana ada urusan saudara kahwin. Jadi kami bertiga meneruskan kayuhan sehingga Bagan Lalang. Lepas menikmati udara segar laut China Selatan sambil makan roti bakar kami bertolak pulang ikut laluan sama. Sampai di Sepang kami terserempak dengan kumpulan elit Sdr Azwar, Isma, Hadi dll yang berehat sambil menunggu kawan di stesen Shell. Lepas tu kami kayuh bersama mereka. Aku cuba untuk cucuk angin bersama mereka tapi hanya mampu separuh jalan saja, tercicir semasa pendakian sebelum simpang lampu isyarat KLIA. Jarak keseluruhan kayuhan 101km. Puas walaupun terdapat sedikit kesakitan pada paha. Purata kelajuan 27.5km/jam. Aku tercicir paling belakang, silap strategi.

Tuesday, December 11, 2007

Kayuhan Sultan Selangor

Selasa 11/12/07 (1 Zulhijjah) - Hari ini cuti umum bagi negeri Selangor sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor. Aku, Omar, Fadhil dan Jaja berkayuh dari Bt 18 ke Genting Peras dan Tekala. Jumlah jarak kayuhan 65km. Dua bukit kami daki, Genting Peras dan Semenyih dam. Terima kasih kepada Fadhil yang membelanjakan nasi lemak Tekala. Kebetulan aku lupa bawa duit. Seterusnya beliau mengajak kami berkayuh dari UKM MTDC ke Bagan Lalang pada sabtu ini.

Kabus sekitar Genting Peras (gambar ehsan Omar).

Puncak Genting Peras iaitu sempadan Selangor-N9 (gambar ehsan Omar).

Sunday, December 9, 2007

Jejak Kemensah




Ahad 9/12/07 - Aku bersama Omar ke Kemensah untuk mencuba laluan basikal bukit di sana. Awal pagi kami jumpa kumpulan 3 orang yang diketuai Sdr Rahmat. Kami ikut berkayuh hingga ke simpang Sofea Jane. Kami berdua ingin cuba meneruskan ke jejak Sg Congkak tapi hanya mampu separuh jalan sebab jejak semakin sempit dan seolah-olah lama tidak dilalui manusia. Lagipun banyak juga pacat yang mengejar kami. Persimpangan Sofea Jane ini diberi nama sempena, khabarnya Sofea Jane pernah membuat penggambaran di sini. Tak jauh dari sini ada air terjun. Jumpa sekumpulan pejalan kaki yang ingin ke air terjun. Kami berpatah balik dan meneruskan pula kayuhan mengikuti jejak Klang gate. Laluan ini cantik, sedikit teknikal, tak banyak pacat dan nyamuk. Kami berkayuh bersama kumpulan 7 orang dari Keramat yang diketuai oleh Sdr Syafik.




Bergambar bersama kumpulan Syafik (Keramat) di tepi tasik Klang gate.



Tasik Klang gate

Ketinggian maksimum yang dicapai hari ini ialah 350m.





Peta laluan kami hari ini. Jarak keseluruhan ialah 16km. Omar jumpa seekor ular (mungkin ular daun). Semua gambar telah diambil menggunakan kamera telefon bimbit Omar. Terima kasih Omar atas khidmat percuma.

Saturday, December 8, 2007

Kayuh bersama sifu


8/12/07 - Laluan: Salak tinggi-Jenderam-Bangi-B.B.Bangi-Sg. Merab-Kg Dato' Abu Bakar Baginda-Putrajaya-Dengkil-Salak Tinggi. Jumlah laluan ~70km. Purata kelajuan ~27km/jam. kayuh bersama Ab Razak (sifu basikal jalan) dan Zamani. Ada satu tip dari beliau. Untuk mengelakkan kekejangan otot, campurkan air minuman dengan garam (rehydration salts). Garam ini boleh dibeli di farmasi.

Renang

7/12/07 - Kayuh: 8km, Berenang: 100, 300, 500, 300, 100m.

Monday, December 3, 2007

Berenang

3/12/07- Dah lebih sebulan agaknya aku tak berenang. Petang ni cuaca pun terang dan panas, sesuai untuk berenang. Aku berenang di kolam UNITEN dengan bayaran hanya RM2. Mula 1730 tamat 1820. Buat 100m, 300m, 500m, 300m, 100m, 500m. Rasa sedikit lenguh tangan sebab lama dah tak berenang. Setiap petang Isnin, Khamis dan Jumaat, kolam ni hanya untuk lelaki. Tapi Isnin agak ramai pelajar UNITEN. Yang tak syoknya mereka ni berenang mengikut arah melintang kolam - tumpuan kadang2 terganggu sebab takut berlanggar.

Kayuhan sunyi sepi

2/12/07 - Pagi ahad aku kayuh solo. Laluannya ialah rumah-UKM-Nuklear Msia-Bangi-Rinching hilir-Beranang-Pajam-Nilai 3-Bukit Mahkota-Bangi-Taman Teknologi Nuklear Msia-LPTA-Sek Men Teknik Sepang-Sg Merab-Tasik Cempaka, BB Bangi-rumah. Jarak perjalanan ialah 70km. Jalan kebanyakannya rata dan sedikit beralun. Hari ini aku agak kesunyian. Dengan berkayuh aku melayan segala yang terlintas di benak hati dan cuba fikir-fikirkan, tafakurkan, muhasabah. Biasanya bila perasaan begini aku akan kayuh lagi jauh kadang-kadang dari pagi sampai petang. Bagiku kayuhan boleh menghiburkan walaupun sekadar berlatar belakangkan tiupan angin, bunyi pedal. Laluan ini kebanyakannya melalui jalan kampung/perumahan, tak banyak kenderaan dan agak teduh.

Saturday, December 1, 2007

Jejak UKM

1/12/07 - Pagi ini kayuh MTB di ladang kelapa sawit MPOB di belakang UKM (jejak warna kuning). Puncak tertinggi sekitar 101m sahaja.

Taman Botani Air Keroh

29/11/07 petang - Aku berjoging di Taman Botani, Air Keroh, Melaka selepas penat berbengkel (JPK) di Puteri resort. Jarak jejak 4.4km sahaja.
Pokok terbesar di hutan Botani, Air Keroh.
Joging bersama isteri tersayang.

Sunday, November 25, 2007

Sg. Congkak


Ahad 25/11/07-Hari ini aku, omar, azizul dan hanif kayuh basikal gunung di sg congkak.
nak cuba cari laluan ke kemensah tapi tak jumpa laluan masuk. untuk mudah mencari laluan rasanya di lain hari kena masuk dari kemensah/zoo negara. lagipun hari ini mula agak lewat dan kesan keletihan kayuhan semalam di putrajaya masih belum hilang. biasalah sebagai manusia yang lemah, ada ketika rasanya penat. mula kayuh dari batu 18, jam 0930. jam 1200 dah balik makan nasi lemak kat warung nasi lemak sg congkak. ramai oarng berkelah di sg congkak hari ini sempena cuti sekolah.

laluan agak elok tapi kurang dilalui orang. ada berbatu-batu yang menyeronokkan bagi yang gemar teknikal. banyak juga pacat. pacat pun jenis yang bisa, berjalur dan hujung warna hijau. gigitannya menyakitkan tak seperti pacat biasa. kemudian jumpa sekumpulan babi dan seorang orang asli menaiki motosikal. memang biasa, bila banyak kesan sondolan babi yang mencari cacing maka di situ juga akan banyak pacat.
dari kiri hanif, aku dan azizul. omar jadi jurugambar.

sampai di penghujung ada sungai, laluan masih ada tapi agak sempit. kata hanif cukuplah di sini, jam pun dah 1115.

Sunday, November 18, 2007

Kayuh PCC

Ahad 18/11/07- Hari ini aku kayuh basikal gunung ke Semenyih dari rumah (20km - halaju 20km/jam) untuk ikut sebahagian dari litar PCC presidential ride 2007. Atas cadangan Zamani (katanya tak mahu bersesak-sesak di litar 1), kami mula kayuh dari Kg Pasir selepas menikmati nasi lemak. Selepas menunggu kehadiran Azhar dan Azizul kami mula kayuh jam 0900. Mulanya kami menghala ke Sg Tekala untuk memasuki litar 2 (PCC 2005). Litar lama dah tak boleh dimasuki, jalan dah bersemak. Rupanya tahun ini ada perubahan, litar 2 bermula di Nirwana. Jadi berpatah balik dan memasuki litar baru PCC, selepas ini kami mula bertembung dengan kumpulan yang pantas. Agak laju juga mereka berkayuh. Jalan pun banyak lecah dan licin. Tiba di check point 3, kami tumpang minum dan makan tembikai dan pisang. Bukan apa orang dah tawarkan tak kan nak menolak. Selepas check point 3, pendakian dan penurunan agak tegak. Seketika kemudian hujan turun dengan agak lebat, memulihkan kembali stamina. Selepas keluar ke jalan utam Semenyih-Tekala, kami tak terus ke check point 4, sebaliknya kembali ke Kg Pasir dan minum segelas neslo (milo + nescafe). Cadang nak kayuh ke Bangi, tetapi Azizul beriya-iya menawarkan untuk menghantar pulang ke Bangi.
Jarak kayuhan aku hari ni;
1-Bangi- Kg Pasir =20km
2-Litar PCC = 33km.

Berhenti rehat sekejap setelah penat mendaki.

Check point 3 - terima kasih atas air, tembikai dan pisang. InsyaAllah tahun depan jumpa lagi.




Saturday, November 17, 2007

Lebuhraya Putrajaya-Pandan

Sabtu 17/11/07- Pagi ni aku ikut kayuh bersama Dr. K, Brahim, Nizar, Folizan, Shah, Rahim dan pemilik Orbea (tak ingat nama) dari Taman Warisan ke Bulatan Kg. Pandan melalui lebuh raya baru yang belum dibuka dengan kayuhan sejauh 76km pergi-balik selama 3 jam. Halaju purata 25km/jam. Shah dan Rahim (veteran 60an) ternyata cukup kuat dan mempunyai daya tahan yang cukup tinggi. Peha ku hampir kejang semasa pendakian tapi masih dapat dikawal dengan cara memperlahankan kayuhan, menukar gear ringan dan membasahkan air. Walaupun nafas belum semput tapi kekurangan latihan menyebabkan peha belum cukup kuat. Dua botol air habis diminum sepenuhnya. Profail jalan adalah berombak (undulating) boleh memecut semasa menurun tapi perlu menukar gear bila pendakian dan kadang-kadang susah untuk memilih gear yang sesuai.

Sunday, November 11, 2007

Laporan cubaan jandabaik-chennah

Sabtu 10/11/07-Kami bangun seawal jam 0430 dan berjumpa di masjid Semenyih. Lepas solat subuh kami bertolak menaiki van ke Janda Baik. Semuanya 7 orang; azhar, zamani, ng, zam, naza, pauzi dan omar. Sampai di jandabaik kul 0810 kemudian minum secawan teh bersama roti. Kul 0840 mula kayuh. Laluan lecah dan berbatu, kadang-kadang kena tolak. Tiba di puncak (Heli pad) jam 1130. Lepas ini jalan sedikit menurun dan kebanyakan jalan sudah ditutupi pokok paku pakis dan buloh. Pokok-pokok ini perlu ditebas terlebih dahulu untuk membuat laluan, hinggalah kami tiba di penghujung tanah runtuh yang curam pukul 1500. Zamani memberi nasihat agar kita berpatah balik sebab hari semakin gelap dan kadar pergerakan kami hanya pada kelajuan 1km/jam. Untuk sampai ke Lata Kijang dianggarkan lebih kurang 9km lagi (berpandukan pada GPS laluan Joe Adnan).
Jam 1530 kami pulang dan tiba di Heli pad (perkhemahan orang yang membuat persempadanan semula) jam 1715. Kami solat jamak asar dan zohor dan pada jam 1730 bertolak pulang ke Janda baik. Zamani dan Zam tiba di Janda Baik 1910, Pauzi dan Omar 1940, Azhar, Naza dan Ng 2010. Bila gelap memnag susah untuk berkayuh di jalan yang lecah. jadi kebanyakannya menolak basikal dan tentunya melambatkan perjalanan. Kadar kelajuan keseluruhan ialah 2km/jam sahaja untuk jumlah perjalanan 24km pergi-balik. Bergambar sebelum memulakan kayuhan (gambar ehsan Azhar): Dari kiri - Ng, Zamani, saya, Naza, Omar, Zam dan Azhar. MTB - mari tolak basikal
Membasuh basikal selepas melalui jalan lecah. Rantai dan brek jam.

Tiba di puncak heli pad. Berbincang dengan pekerja persempadanan semula tentang bacaan GPS. GPS kami jenis Garmin 60CSx kira boleh tahan dan boleh dipercayai. Azhar, Naza dan saya masing-masing membawa sebuah GPS model yang sama iaitu 60 CSx, cuma harga yang dibeli saja berbeza. Saya beli di Singapura dengan harga RM2300, Azhar beli di Seremban dengan harga RM1800 dan Naza melalui pos (Amazon) dengan belanja RM1500. Selain itu zamani pula membawa sepasang walki talki bagi memudahkan perhubungan.

Bergambar di puncak, Heli pad (gambar ehsan Azhar).
Laluan semakin tertutup selepas Heli pad (gambar ehsan Azhar).
Lengkong hijau ialah laluan kami. Merah ialah laluan Joe Adnan pada tahun 2003. Sebelum ini kami berkayuh dari Chennah ke Lata Kijang, tiada masaalah jalan masih boleh dilalui kecuali ada sebatang pokok balak tumbang yang menyebabkan kami kena angkat basikal. Yang lain semua boleh dikayuh.
Puncak tertinggi ialah di heli pad pada ketinggian 806m dari aras laut.

Thursday, November 8, 2007

Janda Baik-Chennah


Sabtu 10/11/07 - Kami bercadang nak berkayuh basikal gunung dari Kg Janda Baik ke Chennah. Jarak perjalanan lebih kurang 55km. insyaAllah pesertanya ialah Azhar, kawan Azhar, Zamani, Pauzi dan Omar.

Sunday, November 4, 2007

Kayuhan depavali

Tarikh: 8/11/07, Khamis
Tempat mula: Kajang Perdana (sebelah tangki air)
Masa mula: 0800
Peserta: Kumpulan Jomkayuh (http://www.jomkayuh.com/forum/index.php), Azhar dan kump penjara n Semenyih, Zamani, Suffian n kumpuulan Nilai, saya dan anak.
Peta di bawah menunjukkan sebagai dari laluan Sg Pening.


Laluan Belakang UKM

Ahad 4/11/07 - Aku kayuh basikal gunung secara solo meredah ladang kelapa sawit belakang UKM. Jarak keseluruhan dari rumah dan memasuki kampus UKM pergi-balik ialah 27km sahaja. Laluan ini dipisahkan dengan laluan bandar teknologi kajang oleh jalan keretapi. Laluan tiada yang teknikal tapi mencukupi untuk latihan pendakian.

Friday, November 2, 2007

Putrajaya Lebuhraya baru

Sabtu 3/11/07- Ibrahim ajak kayuh bersama Dr K di Putraya. Katanya ada lebuhraya baru yang sudah siap pembinaan tapi masih belum dibuka kepada kenderaan bermotor. Namanya lebuhraya Putrajaya-KL. Sesiapa yang berminat bolehlah ikut sama pagi Sabtu esuk berkayuh menggunakan basikal jalan (road bike). Tempat mula ialah di Taman Warisan jam 0800.
Laporan:
Kami kayuh dari Tmn Warisan mengikuti lebuh raya baru yang hampir siap tapi belum dibuka kepada lalulintas. Seronok juga berkayuh tanpa kereta. Lebuhraya ini menghubungkan Putrajaya dengan KL (lengkong kuning). Jarak lebihkurang 40km.