Sunday, August 26, 2007

Semak Jarak

Ahad 26/8/07 - Ambo kayuh sekitar Bangi/Kajang menggunakan basikal gunung sejauh 40km (pergi-balik) dengan tujuan untuk menyemak jarak sebenar Larian Utusan 2007 (7K veteran) dan Larian Merdeka Kajang 2007 (10K). Didapati dengan pengukuran GPS dan speedometer Cateye, jarak sebenar tidak sama seperti yang didakwa penganjur. Jarak sebenar larian Utusan dan Kajang ialah masing-masing 6.2km dan 11.8km. Jika dikira semula kelajuan larian ambo dulu ialah 10km/jam (Utusan) dan 8.85km/jam.

Profail ketinggian menunjukkan Larian Merdeka Kajang agak berbukit dengan ketinggian antara 40m hingga 90m dari aras laut.

Profail ketinggian Larian Utusan agak rata dengan ketinggian hanya antara 40 hingga 50m dari aras laut.

Saturday, August 25, 2007

Naqsanbandiah Sg. Pening

Sabtu 25/8/07 - Pagi ni cadang nak kayuh awal pagi tapi hujan, jam 0845 baru mula kayuh. Lama dah tak main basikal gunung, dah berhabuk pun, kerana asyik dengan basikal jalan dan masuk lumba lari. Jadi aku dan anak kayuh dekat-dekat saja. Kami berkayuh dari rumah ke Sg. Pening dekat Taman Naqsanbandiah, Sg. Pening. Aku pernah belajar kat Naqsanbandi ni satu ketika dulu, tapi hanya boleh bertahan beberapa minggu saja, tak sesuai dengan jiwaku. Bila aku kaji kitab gurunya iaitu arwah Yahya Laksamana, ada yang meragukan terutama tentang beliau mentafsir ayat al-qur'an berhubung suruhan menunaikan fardhu jumaat. Jadi kepada sesiapa yang berminat dengan aliran tarikat ni fikir-fikirkanlah, kembali kepada al-qur'an dan sunnah supaya kita tetap berada di jalan yang lurus. Tafsir2 yang lain dari kebiasaan tu kena fikir2kan, begitu juga kena faham hadis sebab ramai orang yang memalsukan hadis dan mendustakan ajaran Nabi saw. Wallahu a'lam.
Profail kayuhan kami pagi ini. Jarak keseluruhan hanya 27km sahaja. Purata kelajuan 14km/jam. Kebanyakan laluan ialah jalan raya bertar dan sedikit tanah merah kebun kelapa sawit dan jalan ke kebun getah.

Peta laluan ke Sg. Pening. Dari sini juga ada laluan ke semenyih, tapi kena lalu kawasan berair dan berlumpur di tepi sebelah kuari.

Friday, August 24, 2007

Larian Merdeka Kajang 10km

Ahad 19/8/07 - Aku masuk larian ini yang bermula di stadium kajang jam 0735. Kali pertama berlari sejauh 10km tanpa henti. Masa terbaik ku 1jam 20min. 2X ganda masa orang yang pertama tiba. Entah no. berapa aku dapat, tapi yang pasti ialah lebih dari 30.

Sunday, August 19, 2007

Durian Hutan

Sabtu 18/8/07- lepas panjat nuang (hingga hujung jalan 4WD) kami beli durian, rambutan dan cempedak kat kaki gunung. kali pertama merasa durin hutan. buahnya kecil sahaja, paling banyak hanya 5 ulas, tapi sedap juga. rambutan pun sedap juga isinya longkah eluk. begitu juga cempedak kampung, makannya tak berangin. itulah seronoknya masuk kampung atau hutan dapat menikmati buah-buah yang segar tanpa pengawit.


Thursday, August 16, 2007

Taubat

Kemudian di antara kemaksiatan yang dia lakukan itu, ia menelitinya kembali; jika kemaksiatan yang ia lakukan itu adalah antara dia dan Allah SWT saja serta tidak berkaitan dengan kezaliman kepada manusia, seperti melihat wanita bukan mahram, duduk di masjid dalam keadaan junub, menyentuh mushaf tidak dengan wudhu, beri'tiqad dengan i'tiqad bid'ah, meminum khamar, mendengarkan perkataan yang buruk dan lainnya yang tidak berkaitan dengan kezhaliman kepada manusia;
Taubat untuk kemaksiatan ini adalah dengan menyesal dan merasa rugi atas perbuatannya itu, dan dengan mengukur kadar kebesaran dan masa yang telah ia lakukan, kemudian ia melakukan bagi setiap kemaksiatan itu suatu kebaikan yang setarap dengannya. Dan ia melakukan kebaikan itu sesuai dengan jumlah kemaksiatan yang telah ia lakukan. Berdasarkan sabda Rasulullah Saw :
"Bertaqwalah kepada Allah SWT di manapun engkau berada, dan ikutilah perbuatan buruk (dosa) dengan perbuatan yang baik niscaya ia akan menghapusnya" [Hadits diriwaytkan oleh Tirmizi dari Abi Dzar dan ia mensahihkannya dan sebelumnya hadits ini telah disebut.]
Juga firman Allah SWT :
"Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa)perbuatan-perbuatan yang buruk"[QS. Huud: 114.].
Dosa mendengar sesuatu yang haram, dapat dihapuskan dengan mendengarkan al Qur'an dan majlis dzikir. Dosa duduk di mesjid dalam keadaan junub dihapuskan dengan beri'tikaf di dalamnya sambil beribadah. Dosa menyentuh mushaf dengn tanpa wudhu ditebus dengan memuliakan mushaf dan banyak membacanya. Juga dengan menulis mushaf dan memberikan wakaf mushaf. Dosa meminum khamar ditebus dengan bersadaqah dengan minuman yang halal yang lebih baik dan lebih ia sukai.

Dipetik dari http://media.isnet.org/islam/Qardhawi/Taubat/index.html

Sunday, August 12, 2007

Kayuhan ke Puncak Genting (bahagian akhir)

Alhamdulillah hari ini tercapai juga hasrat kami untuk kayuh ke puncak genting dengan selamat. Semuanya 7 orang yang ikut serta, terima kasih atas kesediaan untuk kayuh bersama. Mereka ialah Faizal, Nasuha, Yahya, Jack, Amir dan Zali. Selepas sarapan dan buang air, kami mula kayuh dari Genting Sempah lebih kurang jam 0845.
Peta laluan ke Genting Highland
Profil ketinggian dari Genting Sempah ke Goh Tong Jaya. Agak mencabar juga di permulaan.
Faizal, Nasuha, Zali, Jack, Yahaya dan aku sampai ke Goh Tong Jaya. Kami tiba di Goh Tong disambut hujan renyai dan jalan mungkin agak licin. Agak malang bagi Amir, beliau terjatuh semasa mendaki dan beliau berhasrat juga untuk meneruskan tapi kawan menasihatkan agar beliau berpatah balik. Khabarnya tiada kecederaan serius, cuma mungkin sakit belakang atau pinggang yang memerlukan urutan tradisi.


Hanya Faizal, Nasuha dan aku meneruskan kayuhan. Lebihkurang 1.5km sebelum puncak, kami berhenti sekejap kerana tayar depan basikal Faizal bocor tercocok serpihan kaca.

1.5km terakhir sebelum puncak, kayuhan agak mencabar kerana jalan lebih curam, aku banyak guna teknik S untuk meringankan kayuhan. Kadang2 susah juga sebab banyak kereta. Hampir setiap 5 saat ada sahaja kereta/bas yang lalu. Bunyi deruman kadang2 menggusarkan takut mereka tergesel dengan kami yang sudah kepenatan mengayuh.
Kami sampai ke puncak iaitu depan Resort hotel dan berehat sekejap sambil makan buah kurma dan tin bersama air kosong. Mahal air kat sini sebotol 1.5 liter berharga RM4.50. Ada jurugambar berminat mengambil gambar GPS aku. Ramai mat motor (superbike) melepak kat sini. Biasalah mereka akan hisap rokok dengan kopi atau teh tarik, berbeza dengan kami yang hanya minum air kosong dan makan buah-buahan.

Faizal dan Nasuha beraksi dengan latar belakang kereta kabel dan kabus tebal.

Menuruni Genting dengan kelajuan purata 20km/jam. Aku tak berani laju walaupun agak boleh menang dengan kelajuan kereta pada kebanyakan selekoh. Banyak brek digunakan.
Data-data kayuhan
Jarak dari Genting Sempah ke Goh Tong ialah 10.7km, kelajuan kayuhanku 7km/jam, masa diambil 1.5jam
Jarak dari Goh Tong ke Puncak ialah 9.2km (7.8km+1.4km), kelajuan kayuhanku 6km/jam + (3km/jam), masa 1.75jam (1.25jam + 28minit).
Kelajuan minimum: 3km/jam
Kelajuan maksimum: >40km/jam.
Jarak pergi-balik: 40km.
Kedudukan keseluruhan: No. 1 -Faizal, No. 2 - Nasuha dan aku dapat no.3. Mungkin 3 orang ini saja yang berkayuh ke puncak genting hari ini.

Israk Mikraj

Israk: Nabi saw dibawa dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjidil Aqsa (Palestin).
Mikraj: Nabi saw diangkat ke langit menemui Allah swt. Kedua-dua peristiwa ini berlaku dalam satu malam sahaja. Beliau saw telah menaiki mahkluk cahaya yang bernama buraq. Jika kita teliti dari segi Fizik halaju cahaya ialah 300,000km/saat iaitu halaju gelombang elektromagnet seperti gelombang mikro yang digunakan dalam telefon. Perjalanan dari Mekah ke Palestin boleh sampai kurang dari 1 saat pada kelajuan ini. Dari segi teori fizik, bermakna Nabi saw mungkin telah bertukar dari bentuk jisim kepada gelombang dan sebaliknya. Ini boleh berlaku dalam kes tindakbalas atom dimana elektron (berjisim) boleh bertukar kepada foton (gelombang) dan sebaliknya. Ini bermakna dari segi logik akal peristiwa Israk Mikraj ini boleh berlaku.

Manakala dalil al-qur'an pula ialah seperti firman Allah dalam surah al-Israk yang bermaksud;
[1] Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. http://quran.al-islam.com/Targama/dispTargam.asp?nType=1&t=mal&nSora=17&nAya=1&l=mal

Dalil al-hadis pula (http://hadith.al-islam.com/bayan/display.asp?Lang=mal&ID=95);

Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi. Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis. Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi. Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah. Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan. Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya. Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya. Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan sembahyang lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Sembahyang lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu sembahyang dari baginda. Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu sembahyang dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap sembahyang fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu sembahyang fardu sama dengan lima puluh sembahyang fardu. Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 234

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Nabi s.a.w telah bersabda: Semasa aku dibawa berjalan dalam peristiwa Israk, aku telah bertemu dengan Musa a.s lalu baginda memberi gambaran mengenainya, maka ternyata beliau seorang lelaki yang tinggi kurus dan berambut ikal, seolah-olah beliau seorang lelaki dari Kabilah Syanu'ah. Selain dari itu aku juga telah berjumpa dengan Nabi Isa a.s lalu baginda memberi gambaran mengenainya, ternyata beliau berwajah dan berperawakan sederhana, berkulit merah, seolah-olah baru keluar dari bilik mandi. Kemudian aku bertemu pula dengan Nabi Ibrahim a.s dan baginda menyatakan kepada kami bahawa bagindalah keturunannya yang paling mirip dengannya. Lalu dibawa kepadaku dua bekas, salah satunya berisi susu dan satu lagi berisi arak. Dikatakan kepadaku: Ambillah mana-mana satu yang engkau suka, lalu aku mengambil bekas yang berisi susu dan meminumnya. Kemudian dikatakan kepadaku: Engkau sememangnya telah diberi petunjuk dengan fitrah atau engkau menepati fitrah, seandainya engkau mengambil arak, nescaya sesatlah umatmu
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 245

Hadis Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku benar-benar pasti diriku berada di dalam Hijir, pada ketika itu orang-orang Quraisy sibuk bertanya tentang perjalananku dalam peristiwa Israk itu. Mereka bertanya aku berbagai perkara mengenai Baitulmuqaddis yang kurang jelas pada ingatanku. Aku amat dukacita kerana aku belum pernah mengalaminya sebelum ini. Lalu Allah memperlihatkan kepadaku dari jauh sehingga aku mampu melihatnya. Walau bagaimana sekalipun bentuk pertanyaan yang diajukan kepadaku, aku tetap dapat menceritakan kepada mereka dengan jelas. Aku benar-benar pasti bahawa diriku berada dalam sekumpulan para nabi, aku melihat Nabi Musa a.s sedang berdiri mendirikan sembahyang, sememangnya dia seorang lelaki berbadan tinggi, kurus serta berambut kerinting, seolah-olah seorang lelaki dari Kaum Syanu'ah. Aku juga melihat Nabi Isa bin Mariam a.s yang sedang berdiri mendirikan sembahyang, manakala orang yang paling mirip dengannya ialah Urwah bin Mas'ud As-Saqafi. Selain dari itu aku juga melihat Nabi Ibrahim a.s yang sedang berdiri mendirikan sembahyang. Manakala Orang yang amat menyerupainya adalah sahabat kamu semua, maksudnya: Diri baginda sendiri. Ketika masuk waktu sembahyang, aku mengimami mereka, setelah selesai dari sembahyang ada suara memanggilku: Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga Neraka, ucapkanlah salam kepadanya! Lalu aku menoleh kepadanya, ternyata dia lebih dahulu mengucapkan salam kepadaku
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 251

Friday, August 10, 2007

Kayuhan ke Puncak Genting

Tarikh: 28 Rejab (12/8/07)
Masa: 0800
Tempat mula/tamat: Kawasan Rehat Genting Sempah
Teknik kayuhan: kayuh lemah lembut (gaya senaman Tai Chi) pada kelajuan 4-8km/jam atau ikut keupayaan sendiri.

Tuesday, August 7, 2007

Adakah Jambatan kita selamat?

Utusan Malaysia semalam memuatkan kenyataan Dato' Samy Vellu tentang status jambatan2 di negara kita yang memerlukan penggunaan sinar X bagi mengesan kecacatan pada struktur jambatan.
Kita pernah dengar berita tentang keretakan jambatan MRR2 sebelum ini. Yang paling baru ialah jambatan runtuh di Amerika Syarikat.
Jambatan menerima beban dinamik setiap minit atau saat, jadi pemeriksaan dan penyenggaraan berkala adalah diperlukan. Kebiasaannya jambatan akan diperiksa setiap tahun. Kaedah tradisi ialah secara visual. Timbul pertanyaan adakah ianya mencukupi?.


Laman berikut mengemukakan beberapa pendapat berhubung kaedah pemeriksaan binaan konkrit, kaedah nuklear dan bukan nuklear.
http://www.mint.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=73&Itemid=154

Monday, August 6, 2007

27 Rejab

27 Rejab bersamaan 11/8 ini ialah hari Israk Mikraj iaitu harijadi solat 5 waktu. Arahan solat 5 waktu kepada umat Islam bermula selepas peristiwa Israk Mikraj Nabi saw ke langit. Arahan solat diterima Nabi saw secara terus dengan Allah swt, tidak seperti ibadat lain yang mana arahan melalui perantaraan malaikat Jibril. Ini menunjukkan solat sangat penting bagi orang Islam. Solat juga merupakan wasiat terakhir Nabi saw. 3 perkara yang disebut Nabi saw sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir iaitu Solat, wanita dan umatku.
Solat perlu kepada khusyu'. 4 perkara yang perlu dijaga semasa solat iaitu sebutan (qauli), perbuatan (fe'li), fikiran ('aqli) dan hati (qalbi). Paling tidak sebutan dan perbuatan boleh kita jaga. Untuk sebutan perlu kepada pembelajaran dan semakan dari orang yang tahu. Bacaan fatihah hendaklah betul kerana tidak sah solat tanpa membaca fatihah (menurut pendapat Bukhari). Solat juga bukan meditasi (iaitu diam tanpa kata-kata). Manakala amali/perbuatan/pergerakan dalam solat perlu ikut sunnah Nabi saw. Contohnya sentiasa melihat tempat sujud semasa solat, bukan mendongak ke langit atau melihat alam sekeliling atau memejam mata....(dipetik dari tazkirah ustaz yang mengetuai majlis tahlil arwah Zubir http://zoob.smugmug.com/ 2 minggu lepas).

Saturday, August 4, 2007

Kayuhan Batu 14 & Peres


Ahad 5/8/07 - Pagi ini jam 0800 aku dan anak (Omar) kayuh di bukit bt 14 dan Peres. Laluan: Tekala-Empangan Semenyih-Batu14-Batu18-Peres-Empangan Semenyih-Tekala. Jarak keseluruhan 64km. Ada 2 bukit yang perlu didaki iaitu bukit yang menghala ke Batu 14 (3km mendaki) dan bukit Peres (10km mendaki). Ini kayuhan persediaan untuk mendaki Genting Highland minggu depan.

Selepas kayuh kami mandi sekejap di tempat perkelahan Sg. Tekala. Untuk masuk ke sini kena bayar 50 sen seorang. Kira eluk juga dikenakan bayaran bagi menampung kos binaan dan penjagaan tandas dan menjaga kebersihan kawasan.

Larian Utusan & Basikalton Merdeka

Sabtu 4/8/07 - Ahad lepas aku masuk larian Utusan. Masa terbaik bagiku tahun ini ialah 37minit untuk larian sejauh 7km. Rasanya lebih baik dari tahun lepas. Bagaimanapun cuma dapat sijil yang bermakna kedudukan lebih dari 30 bagi kategori E, 45-50 tahun.

Selepas berlari dan minum 100+, Milo percuma aku terus balik rumah, malas nak tunggu cabutan bertuah. Semasa membaca Akhbar Mingguan Malaysia aku tertarik dengan tulisan mufti Perlis berhubung dengan sikap terbuka kita dalam menilai pendapat orang lain. Kita biasanya tidak terbuka dan kadang-kadang memandang rendah pendapat orang lain. Sikap ini patut kita buang kerana ianya ada unsur ego dan bangga diri dan merasakan hanya pendapat kita atau kumpulan kita saja yang betul. Hari ini, sabtu aku bersama 2 anak perempuan dan isteri ikut serta program basikalton merdeka bangi. Kami berkayuh bersama Dato' Hassan Nawawi, YDP MPKj dan YB Dato' Amran Kasimin. Kami berkayuh sejauh 11km sahaja. Ramai juga yang menyertai. Bukan apa, rasanya program ini dapat menyedarkan masyarakat terutama kepada pengguna kenderaan bermotor agar menghurmati pengguna jalanraya yang lemah seperti pengguna basikal dan pejalan kaki. Kalau boleh bila pengguna kenderaan bermotor melihat penunggang basikal mereka akan perlahan kenderaan dan memberi laluan jika perlu bukannya ingin berebut-rebut ke depan atau bersesak-sesak dengan membahayakan pengguna basikal.




Demonstrasi silat cekak hanafi memeriahkan lagi Basikalton Merdeka Bangi 2007.