Friday, February 26, 2010

Kayuhan maulidurrasul

Allahumma salli'ala muhammad wa'ala ali muhammad.

Awal pagi berkayuh dari rumah ke Taman Warisan, Putrajaya. Kemudian kayuh bersama Ibrahim, Dr. K, Yazid dan rakan proton. Kayuhan melalui PICC, Limau Manis, Dewan Sri Endon, Shangrila. Kami berkayuh 2+ jam. Cuaca agak panas. Aku tertinggal jauh dan kepenatan terutama semasa pendakian. Limau Manis dan Shagrila ialah puncak -puncak tertinggi.
Peta kayuhan hari maulud. Degup jantung agak tinggi kerana mengejar kawan-kawan. Ini basikal Dr. K, cukup ringan 2X lebih ringan dari basikalku. Kebanyakan bahan yang digunakan ialah bahan termaju daripada komposit karbon termasuklah kerangka, rim, gandar. Harga dikhabar RM35k.

Hari ini juga genap umurku 54 tahun hijrah=52 tahun 4 bulan masihi.

Sabtu- joging di komplek sukan Bangi. Tak dapat kayuh kerana ada gotong royong kenduri kahwin jiran belakang rumah.
Borak-borak dengan jiran-jiran sementara menunggu majlis akad nikah. Banyak cerita politik dan cerita-cerita kehidupan. Alhamdulillah jiran-jiran kami agak terbuka - ada penyokong UMNO, ada penyokong PKR, PAS tapi boleh duduk semeja. Bila agak hangat, tukar topik. Zaman sudah berubah, ada kes walau sudah bercerai tapi masih duduk serumah. Sebabnya ialah masaalah perkongsian harta. Rumah dibeli secara kongsi pinjaman. Kalau dulu masaalah ini tidak timbul kerana harta kebanyakan dimiliki lelaki (kecuali N9). Zaman sekarang harta dimiliki bersama. Kuasa lelaki agak terhad, nak kahwin lebih pun dah susah. Kesian jugalah pada kaum hawa yang ramai tak dapat kahwin.

Ahad - Ibrahim ajak kayuh UKM-Bangi-Semenyih-LEKAS-Mantin-Beranang-Jalan 6'-Bangi-UKM. Ada juga ajakan kayuh basikal gunung di Sg Long tapi ajakan ini agak lewat. Layan siapa yang dulu. Peserta pagi ini ialah Ibrahim, Rashin, Nizam, Yazid, Zairi, Shakri, Manciocc, Cik gu dan kawannya, Won serta Hj Zamani.
Berhenti rehat di RnR Mantin, Lebuhraya Lekas.
Tempat kencing lelaki RnR Mantin agak lain dari yang biasa. Ada pili untuk buka/tutup siraman air.
Berhenti minum di pekan Mantin
Kayuhan pulang melalui jalan lama (Mantin-Beranang). Jarak kayuhan hari ini ialah 70km dengan kelajuan purata 28km/jam. Penat nak mengejar Hj Zamani.

Monday, February 15, 2010

Kayuhan Tahun Baru China

Pagi Raya Cina pertama dan kedua aku berkayuh melalui Lebuhraya LEKAS (Kajang-Seremban). Pagi raya pertama berkayuh solo dari Bandar Baru Bangi ke Jalan Reko melalui Kajang Utama memasuki LEKAS dan keluar di tol Bangi, ikut Bangi Lama untuk kembali ke Bandar Baru Bangi melalui UKM. Masa kayuhan 90 min untuk jarak perjalanan 40km.
Raya Cina kedua, kayuh bersama Ibrahim dan Rashin ke Mantin melalui LEKAS. Jarak perjalanan 90km. Purata kelajuan 26km/jam. Kebetulan dapat kayuh bersama budak MSN untuk tempoh sekitar 30 min dengan kelajuan 40km/jam. Degup jantung melebihi 150 denyut perminit. Berdengung telingaku dibuatnya. Terima kasih Fairuz (jurulatih pasukan Melaka) kerana menolak aku masuk dalam peleton. Pernah berkayuh dengan beliau dan rakannya Isma, Dagu dll suatu ketika dulu dari UKM ke Bagan Lalang dan Morib. Masa tu aku dapat buat kelajuan purata 33km/jam untuk jarak 130km walaupun jauh tercicir ketika pulang.

Sunday, February 7, 2010

Putrajaya Night Marathon


Alhamdulillah baru sekejap tadi aku berjaya menghabiskan larian 'half marathon' di Putrajaya. Peserta marathon dilepaskan jam 2000 dan peserta half-marathon dilepaskan jam 2030. Aku berjaya menamatkan dalam tempoh 3 minit kurang 3 jam. Aku kekalkan degup jantung pada sekitar 140-150. Purata degup 145 degup per minit. Selepas 1 jam terasa seronok berlari tapi 1 jam terakhir lutut kiri mula terasa sakit. Ada ketika rasa malas, rasa nak berjalan sahaja, tapi dikuatkan juga semangat dengan buat langkah panjang perlahan dan badan membongkok ke depan.

3 jam berlari sudah cukup seksa bagi ku apatah nak masuk marathon 42km. Tidak seperti berbasikal 8 jam pun tiada masaalah. Renang pun tidak seseksa lari, tapi takut dan gayat pula berada di tengah laut.