Sunday, March 29, 2009

Latihan bulan R'awal

Masih mengekalkan latihan fizikal purata 1 jam sehari.

Kayuhan bersama PCC ke PD

Setelah lama tak kayuh basikal jalan, hari aku ambil peluang berkayuh bersama PCC dari MTDC, UKM ke Lukut, PD melalui Labu, Sendayan.
0720 mula berkayuh, ramai juga geng PCC kali ini.
Berkumpul semula di pekan Salak. Kumpulan pertama hanya berkayuh sampai di sini.

Berhenti makan dan minum di Lukut setelah berkayuh 65km (dari rumah, 62km dari MTDC).
Dalam perjalanan pulang aku berpecah dengan PCC. Aku ikut Bukit Pelanduk. Dekat sikit, nak cepat sampai di rumah kerana nak kena pergi kenduri kahwin.

Beginilah banyaknya kereta PCC yang parkir di MTDC. Aku telah berkayuh 120km. PCC mungkin 130km.

Friday, March 27, 2009

Kayuhan sekitar K. Tgnu


Lepas bercuti di kampung, aku berpeluang mengikuti kursus pengurusan kualiti bagi auditor dalaman iaitu ISO9001:2008, ISO17025, ISO13485, ISO19001 dari 23-27 Mac. Setiap pagi dan petang bila kelapangan aku akan berkayuh atau joging atau berenang. Kayuhan hanya terhad sekitar Kuala Terengganu. Joging di tepi pantai. Berenang di hotel dan laut.
Profail Bukit Besar, bandar KT. Agak curam, tak mampu aku kayuh tanpa henti. Kena tolak kira-kira 3/4 pendakian.
Pemandangan bandar KT awal pagi dari Bukit Besar.
Di pagi lain aku berkayuh ke Pulau Wan Man, melihat masjid mini dan masjid Crystal yang terkenal tu. Ini masjid rekabentuk masjid al-Aqsa di Palestin.
Masjid Crystal yang cantik.
Pandangan awal pagi di tebing kuala sungai.
Hari ini aku sempat sembahyang Jumaat di masjid biru tak jauh dari hotel Grand Continental tempat aku menginap/berkursus. Kali pertama aku melihat khutbah jumaat disampaikan bersama alat bantu visual. Cukup menarik khutbahnya, ringkas dan padat dan yang penting tidak mengantuk.
Garis hijau ialah laluan basikal dan joging yang sempat aku buat 5 hari berada di KT. Petang ni aku berenang di laut bersama-sama budak-budak kampung. Banyak sungguh anak udang di sini. Mulanya aku rasa takut ingatkan anak ikan yang menggigit kakiku. Setelah bertanyakan budak tempatan barulah rasa lega.

Monday, March 23, 2009

Gunung Tebu

Khamis 19/3 aku bercuti balik kampung untuk menghadiri kenduri aqiqah menyambut kelahiran anak saudara. Tiba di kampung, jiran depan rumah ayah pula jemput makan kenduri kahwin anaknya.
Lepas sembahyang jumaat, majlis cukur jambul dijalankan, diikuti dengan selawat ke atas Nabi saw. Lebih dua hari berturut-turut makan daging dan kambing. Di Kelantan bulan Rabiul awal (juga dikenali bulan Maulud), kenduri dan program selawat cukup meriah.

Sabtu 21/3 aku berkesempatan mendaki sebahagian jejak ke Gunung Tebu, Lata Belatan, Jabi. Yang menariknya sungai Lata Belatan ni cukup jernih airnya hingga nampak ke dasar. Di tempat yang agak dalam, airnya kelihatan berwarna kehijauan. Airnya sejuk dan menyegarkan. Selain itu dalam hutan akan kedengaran riuh sekali bunyi riang2, iaitu binatang yang sama terdapat di pulau Manukan, Sabah. Mungkin kehadiran binatang ini ada kaitan dengan pencemaran. Di kawasan yang agak tercemar seperti gunung Nuang, Angsi bunyi ini tiada kedengaran. Aku bersama adik ipar dan anak2 saudara hanya sempat mendaki sehingga 3.5km sahaja. Untuk sampai ke puncak perlu mendaki sejauh 7km.
Adik ipar Nik Khairul dan anak Nik Najmi dan Nik Naim. Tak boleh lama-lama kerana Najmi kena masuk asrama petangnya.
Banyak pokok-pokok balak di sini.

Hanya sampai di sini saja kami sempat sampai. Ada 4.5km lagi untuk ke puncak. InsyaAllah lain kali kami datang lagi.
Laluan jejak di sini, bersih, kering berpasir dan tak ada pacat.

Air sungai yang cukup jernih.



Jeram di sini ada tempat yang bahaya untuk mandi. Khabar 2 budak telah mati lemas di sini tersangkut dalam terowong air bawah batu. Kena-kena hati, pihak Renjer ada meletakkan tanda amaran larangan mandi.
Profail mendaki dan menurun sebahagian gunung tebu.
Peta ke Gunung Tebu yang berhampiran pekan Jabi.
Pagi Ahad 22/3 sebelum bertolak ke Kuala Terengganu aku sempat berkayuh ke Jeram Linang melalui jalan kampung dan batas taliair. Basikal cukup baik untuk mengembara seluruh pelusok kampung, asalkan ada masa.

Monday, March 9, 2009

Kayuhan Maulud

Sabtu, Ahad dan Isnin ialah cuti. Isnin cuti sambutan maulud (bahasa arab maulid). Maulud sebenarnya tidak wujud pada zaman Nabi saw dan sahabat. Sambutan harijadi bukannya tradisi Islam. Mungkin ini budaya orang barat. Kerana kehebatan orang barat, maka sambutan harijadi menjadi ikutan orang lain. Tarikh permulaan kalendar Islam pun tidak bermula dari kelahiran Nabi saw tetapi bermula dari penghijrahan Nabi saw dari Mekah ke Madinah (Dr. Maza).
Apa pun kita disuruh sentiasa berselawat ke atas Nabi saw. Satu selawat kita ke atas Nabi saw, Allah balaskan 10 kali selawat ke atas kita. Apa jua keadaan, waktu susah, sakit, takut, atau senang.

Makna secara umum selawat adalah jamak dari kalimat solat. Di segi bahasa pula, ia bererti doa, rahmat dari Allah, memberi berkah dan ibadat. Dalam pengertian yang lebih luas, berselawat kepada Nabi Muhammad bererti memperbesarkan, mengagungkan serta mendukung perjuangannya yang mulia, di samping melahirkan rasa syukur atas perutusannya yang menjadi rahmat seluruh alam ini, malah menambahkan keyakinan beramal dengan sunnahnya yang diredhai Allah.

Ketiga-tiga hari cuti ni aku habiskan dengan berkayuh secara solo basikal gunung (Trek EX5.5). Sabtu berkayuh di ladang sawit MPOB/ UKM, Bangi dan Kg Bahagia serta Jenderam. Trek ini tidak teknikal tetapi dikira memadai untuk latihan ringan. Teduh dan cantik pemandangan terutama di tasik sekitar Jenderam. Ada burung2 menarik untuk diperhati.
Profail berbukit di ladang sawit dan Kg Bahagia, rata di Jenderam dan berbukit di Sg Merab.
Peta kayuhan yang mengambil masa lebih kurang 2.5jam.

Hari Ahad aku berkayuh di trek teknikal Presint 5. Menggunakan pedal biasa (bukan jenis klip) memudahkan kayuhan. Sebelum ini (menggunakan pedal klip), aku kena tolak basikal kerana tidak yakin, takut jatuh. Tapi kali ini aku hanya turun basikal sekali sahaja semasa menurun (downhill) iaitu di kawasan batu-batan. Tidak ramai orang kali ini, mungkin ramai yang bercuti balik kampung.

Hari Isnin aku berkayuh di FRIM, kebetulan isteri ingin mencari pokok2 di Sg. Buluh. Profail bukit Steroid. Treknya tidak teknikal tetapi pendakian kira mencabar juga. Trek EX5.5 cukup selesa semasa pendakian. Gearnya mencukupi. Dengan kelajuan 1.2km/jam, basikal masih boleh diimbangi.
Tak kayuh lama hanya 1.5jam sahaja, kesian kat isteri tunggu lama pulak.
Pemandangan dari salah satu puncak bukit FRIM. Bukit digondol mungkin untuk projek baru. Penggunaan racun rumpai agak berleluasa di kawasan penanaman poko baru. Penggunaan racun rumpai banyak menghakis tanah dan tidak mesra alam. Tapi itulah kaedah orang zaman sekarang yang semakin malas untuk mengeluarkan lebih peluh.
Pandangan puncak. Jika diikut peta lama, kat sini ditanda sebagai 'Mango tree'. Tapi hari ini tak nampak pun pokoknya.
Inilah trek baru aku diletakkan atas bumbung van. Bukan senang nak menaikkan basikal ke atas bumbung dan menurunkannya. Kena bawa bangku. Kena hati2 dengan ketinggian. Tinggi van+ basikal ialah 3m.

Kepada rakan basikal jalan aku mohon maaf kerana lama dah tak ikut anda semua berkayuh. Aku masih fobia untuk berkayuh di jalan sibuk. Sejak tahun 2003 aku berkayuh, 3 kali aku digesel kereta. Kali pertama oleh lori Utusan, digesel kat handel, nasib tangan agak ke dalam jadi selamat dari geselan. Kali ke 2 aku terkejut juga dilanggar dari belakang oleh pemandu wanita. Kali ke 3 pula digesel. Cermin pembalik tepi sebelah kiri kereta proton saga baru terpelanting kena handel aku. Ini paling mengejutkan sebab badan kereta mengenai seluar aku. Bagaimanapun alhamdulillah semuanya selamat tiada apa-apa kecederaan. Aku jadi serba salah bila berkayuh di jalan sibuk. Nak ke tengah jalan, takut dilanggar dari belakang. Nak ke tepi walaupun di luar garis putih pula takut di gesel. Laluan dari Bangi ke PD atau ke Bagan Lalang sudah semakin sibuk sekarang, terlalu banyak kereta dan kebanyakan pemandu semuanya tak sabar, semua nak cepat.

Sunday, March 1, 2009

Towerthon09

Pagi ini alhamdulillah kami telah berjaya menamatkan larian Towerthon 09 di Menara Kuala Lumpur iaitu menara ke 5 tertinggi di dunia. Lebih 2000 orang menyertainya, Melayu, Cina, India, Chile, Perancis, dll. Peserta dilepaskan secara berperingkat-peringkat bermula dari jam 0800 hinggalah jam 0930. Masa terbaik ialah 13 minit. Sebanyak 2058 anak tangga (26 tingkat) perlu didaki.

Faizal dan aku dah sampai jam 0700. Sarapan roti krim dan teh 0 disediakan oleh pihak penganjur.
Masa terbaik kami ialah,
Faizal Matta = 20 min
Omar = 23 min
Pauzi = 30 min
Foziah dan Sakinah = 1 jam 15 min.