Thursday, August 14, 2008

Desaru Triathlon 16-08-08

Isnin R20B30L30: Renang R20 di De Rhu Resort, Balok kemudian berlari sekitar pantai Balok L30. Pantai Balok adalah antara yang cantik pada pandanganku. Depan De Rhu ada beberapa pulau kecil yang terbina dari batu granit. Aku tak berani untuk berenang ke pulau tersebut kecuali yang terdekat dengan pantai yang boleh diharungi dengan berjalan bila air surut. Mungkin lebih selamat jika berkayak. Gambar satelit menunjukkan muara sungai masih dipenuhi air. Tapi ketika air surut aku boleh berjalan atas beting pasir yang berlonggok di muara.

Selasa R15B20L15: Renang R30 di De Rhu Resort. Rabu R15: Tak sempat latihan, terpaksa kerja hingga malam. Dengan bersenam, aku telah mampu untuk memasuki ruang terkurung dengan kandungan oksigen 2% kurang dari normal. Untuk 3 hari aku telah masuk 6 ruang terkurung bagi membuat pemeriksaan visual dan ujian cecair penembus ke atas kimpalan dan meneliti keadaan dalaman tangki kimia.

Khamis B20L15: Lari sekitar rumah L20, kayuh atas 'trainer' B10.

Jumaat R10B15L10: Bertolak ke Desaru. Menginap di Damai Beach Resort untuk 2 malam. Ada kolam cantik di hotel ini, tapi aku tak sempat nak berenang pun.

Kemudian daftar triathlon di Desaru Golden Beach Resort. Jam 6 petang pergi dengar taklimat triathlon yang diberikan oleh Pengurus Teknikal En. Chan. Dimaklumkan bahawa renang sejauh 2km perlu dibuat secara 2 pusingan, basikal 90 km sebanyak 3 pusingan dan berlari 21km sebanyak 2 pusingan.

Senja, menikmati bayu laut dengan berjalan sekitar pantai sambil ambik gambar bulan penuh.

Malam, pergi makan kat Bandar Penawar, pesan nasi goreng Cina. Kali ni bandar Penawar dikunjungi pelancung yang ramai, hingga nasi pun kehabisan. Kami terpaksa menunggu agak lama untuk mendapatkan nasi goreng. Jumpa triatlit seperti Shahrum, Sam, Bernard Chandran dan lain-lain makan makan bersama keluarga masing-masing.

Sabtu R45B200L150 (Race day)

Jam 10:00 lumba bermula dengan acara renang dilepaskan serentak. Kali ini aku mula berenang dari belakang bagi tujuan menyimpan tenaga. Bagaimanapun strategi ini merugikan kerana terpaksa ikut kumpulan perlahan yang berenang secara kuak dada. Gogel yang aku pakai juga berpeluh (tersilap guna air sejuk untuk membasahkan gogel) menyebabkan penglihatan berkabus dan silau oleh pancaran cahaya matahari yang terik. Aku terpaksa berhenti sekejap bagi membetulkan gogel yang berkabus dengan membasahkan semula dengan air laut. Pusingan pertama cukup perlahan. Isteri beritahu aku ambik masa 35 min untuk pusingan pertama berbanding pusingan kedua hanya 20 min (jumlah =55 min). Lewat 10 min dari sasaran.

Kemudian berbasikal. Semasa berbasikal aku gunakan 1 bar tenaga (Garmen), 3 power gel, lebih 1 botol 100+ dan lebih 1 botol air kosong. 210 min diambil untuk berbasikal, juga lewat 10 min dari sasaran.

Seterusnya acara yang aku tidak suka iaitu berlari 21km. Ini merupakan kali pertama dalam hidupku, aku berlari sejauh ini. Bukan berlari berterusan pun, ada jalan jugak. Pusingan pertama cukup penat, bagaiamanapun awal pusingan kedua rasa sedikit keseronokan berlari sebelum terasa cukup menyakitkan di akhir larian. Ramai yang memotong aku semasa larian. Alhamdulillah hujan turun agak lebat masa berlari telah dapat menyejukkan badan dan mengurangkan kepenatan. 175 min digunakan untuk berlari. 25 min terasasar. Keseluruhannya 45 min lewat dari sasaran.

Bagaimanapun aku bersyukur kerana selamat dari marabahaya dan dapat menamatkan 'half ironman' dalam masa yang ditetapkan walaupun sasaran 10 teratas kategori 50 tahun tidak tercapai. Memang sukar untuk berada pada kedudukan ini kerana semua mereka ini telah banyak pengalaman dan latihan. Aku bangga juga kerana hanya aku seorang melayu Islam dalam kategori ini.

Terima kasih kepada isteri tersayang yang sedia menemani aku dan membekalkan air 100+ dan power gel serta mengambil gambar. Tengoklah mukanya, merah macam udang kena bakar. Cuaca pantai desaru cukup panas, langit biru tanpa awan.

Sedikit kecederaan pada jari kaki kiri, lebam akibat berlari. Kaki aku lebar macam kaki itik susah nak dapat kasut yang sesuai.

Keputusan bagi kategori 50 tahun, aku dapat no. 13 dari 16 penyertaan, walaupun pada pendaftaran awal terdapat 27 orang. Cukup mudah untuk mendaftar sukan ini, boleh buat 'on-line' tanpa apa-apa bayaran. Bayaran hanya dibuat sehari sebelum pertandingan.

Jumlah masa terbaik aku ialah 7jam 20 min (masa kelayakan 9 jam). Pandangan satelit menunjukkan pantai tempat permulaan triathlon. Laut memang agak bergelora.

Peta laluan triathlon. Garis kotak hitam ialah laluan renang (2km). Kuning ialah larian (21km)dan kuning + merah ialah laluan basikal (92km).

Sasaran latihan minggu akhir termasuk perlumbaan ialah R105B285L220=10.17. Bagaiamanapun latihan sebenar ialah R=105 B=220 L=225=9.17.

Begitulah latihan yang telah aku lakukan sejak awal tahun. Seterusnya aku belum tahu lagi. Mungkin cukuplah penyertaan dalam triathlon. Belanja agak besar. Untuk Desaru aku telah belanja seperti berikut;
1- Petrol= RM170
2- Tol =RM74
3- Penginapan= RM260
4- Yuran triathlon=RM90.

JUMLAH= RM614 (lumayan juga).

Makan minum aku tak kira sebab kalau di rumah pun aku kena makan dan minum juga. Bagaimanapun kos makanan semasa bertriathlon 7 jam 20 min tu lebih dari RM40.

Latihan berikutnya untuk kesihatan tubuh badan. Renang, basikal dan berlari akan menjadi kesukaanku. Aku akan cuba kekalkan senaman 7-10 jam seminggu.

4 comments:

yipwt said...

hi abu,

Kasut saucony a2 untuk racing...u boleh dapat dari choi.

http://seecube.blogspot.com/

congrats on finishing this tough & hot race...

abuomar said...

thanks yip

zulhassan said...

taniah bang. kalau nak banding dengan usia saya ni lebih jauh tertingal berbanding abang.

abuomar said...

terima kasih zul, sama-samalah. yang penting dapat menamatkan acara.
sebenarnya sukan ini memerlukan latihan yang berterusan dan istiqamah. kekurangan boleh dibaiki jika kita benar-benar bersungguh. saya pernah bertanya Sam - peserta Jepun (Ironman) tentang latihannya. hari biasa katanya lepas ofis masuk gym, sabtu renang dan ahad kayuh jauh lebih 150km. rasanya sy tak mampu buat macam dia. saya ada isteri dan anak2.