Isnin (7 r'akhir 1429)- rehat
Terasa lenguh bahu kesan renangan semalam. Kul 05:30 dah bangun. Antara kebaikan bersenam ni ialah mudah tidur awal dan mudah bangun awal. Nak beramal pun mudah.
Kul 0830 Bawa ayah pergi berurut di rumah Pak San, Sg. Petai. Alhamdulillah belum ada orang, kami dapat giliran no. 1. Sebentar kemudian tiba En. Sirajudin, bekas wartawan Utusan pun ingin berurut dengan Pak San sebelum kembali ke KL. Pulang dari rumah kami singgah di pasar Pasir Putih, beli laksan, laksa, kacang merah, jering rebus, kuih serunai dan buah pauh Siam. Kenangan teringat kembali. Arwah mek bila pergi pasar biasanya bawa balik kacang merah rebus gaul kelapa kesukaanku.
Petang bermain ikan karin (ikan laga) dengan ayah (78 tahun). Sejak mek meninggal dan ayah lumpuh sebelah tangan, dia agak kesunyian jadi ikan karin jadi temannya. Berbotol2 ikan karin diletakkan atas meja. Kadang2 aku tengok dia tenung begitu lama, entah apa yang ditengok aku pun tak tahu. Mungkin dia memerhatikan antara jantan dan betina mana satu yang ingin dipasangkan untuk disatukan dalam kolah besar supaya mereka dapat membiak, beranak pinak. Ayah ku memang jenis suka main tak suka dok diam, suka berjalan ke sana sini. Masa kecil aku belajar buat wau dengannya, belajar memotong padi, menoreh, mengutip getah, menangkap ikan di baruh (sawah) dan mengharung air banjir. Tapi dia tak pandai berenang, aku belajar renang bersama kawan2 semasa mandi di lubuk dan sungai.
Selasa (8 r'akhir) - B(60min) L (30min)
Berbasikal (roadbike) ke Sg Petai, Gaal, Wakaf Bunut, Kg Raja. Melalui baruh dan kebun getah. Masih ada baruh di Pasir Putih ni walaupun sudah mengecil begitu juga kebun getah. Sekarang orang berkereta proton gi mnoreh. Juga merentasi Sg Rasau dan Lubuk Dalam tempat aku lepak masa kecik. Kemudian joging sekitar kampung.
Balik kampung ni banyak kenangan lama dan idea baru diperolehi. Contohnya bagaimana nak biakkan ikan karin. Buatkan beberapa tuke (tiub dari buluh) dan letakkan dalam kolah/kolam. Nanti ikan karin akan berpasangan dan merendek dalam tuke seterusnya membuat bueh dan menghasilkan telur. Keadah ini juga digunakan untuk menangkap ikan sepila atau karin di baruh. Inilah permainan orang dulu2.
Rabu (9 r'akhir) - balik ke Bangi. R(45min). Petang renang di UKM.
Khamis (10 r'akhir) - puasa, B (45min)-pergi balik pejabat
Jumaat (11 r'akhir) - L (45min)
Sabtu (12 r'ahir) - B (210). Kayuh bersama Zamani ke Lenggeng. Dia masih kuat, sakit paha ku mengejarnya. Tengahari gi kenduri rumah Dr Huda. Petang R (50min) di UKM.
Ahad (13 r'akhir) - B (60) L (25). 0700 Berbasikal ke Sg. Merab/Jenderam Hilir kemudian lari sekitar rumah. Tengahari bertolak ke Bali untuk urusan kerja.
Jumlah R (95) B (375) L (100)=9.50 (sasaran 9.25).
No comments:
Post a Comment