Ahad 5 Rejab 1430 - Triathlon terbuka ATM telah diadakan di Pantai Puteri (dulu pantai Kundur). Renang 1.5km (tapi aku rasa lebih jauh), Basikal 40km (sebenarnya 44km) dan Lari 10km. Seramai lebih kurang 150 peserta yang menyertai pertandingan ini, kebanyakannya tentera. Ada juga peserta Britain, Jepun dan Thailand. Alhamdulillah aku berpeluang menyertainya. Ini penyertaan pertama aku untuk tahun ini. Yuran penyertaan hanya RM60 sahaja. Seronok berpeluang untuk beraktiviti selama lebih kurang 4 jam. Paling seronok ialah berpeluang berenang di laut beramai-ramai. Kalau seorang tak berani aku berenang sejauh itu.
Renang dibuat secara loop 3 segi sebanyak 2 pusingan. 3 bola pelampung diletak di 3 sudut. Pelampung-pelampungnya agak kecil dan sukar untuk mengenal pasti kedudukannya semasa berenang. Cukup mencabar. Satu ketika aku terasa semacam tiada pergerakan dalam renangan terutama antara pelampung 2 hingga 3 (melintang di tengah laut).

Tempat penamat

Tempat mula (sebelah tempat penamat)

Melakukan pemanasan dan membasahkan badan

Berdebar juga nak masuk laut ni.

Peserta sedia untuk dilepaskan. Lepas dibuat dengan ledakan asap berwarna. Peserta 'relay' didahulukan.

Selepas 50 minit baru tamat acara renang, agak perlahan, mungkin banyak tersasar arah atau dihanyutkan arus atau dah lama tak renang laut.

Mula untuk berkayuh. Kayuhan 4 pusingan. Berpeluang menyucuk angin dengan pengayuh-pengayuh muda. Dapatlah rehat sikit.

Berlari, acara yang paling aku benci. Tak mampu berlari laju, banyak yang memotong aku dengan mudah.

Peserta terakhir yang tiba di garis penamat (aku lah tu), diiringi van ambulan. Mereka dah bosan tengok perlahannya aku berlari. Asyik dok tanya OK ke pakcik?

Penganjur sibuk membuat kiraan masa bagi menentukan kedudukan peserta.

Penyampaian hadiah, wang tunai, medal dan sijil.

Kedudukan bagi kategori lelaki 40 tahun ke atas. Ada 9 penyertaan. Horey, aku dapat no. 6 - dapat RM100, medal dan sijil.

Medal (depan) dengan logo Angkatan Tentera Malaysia. Bangga aku!!!

Medal (belakang)

Lepas makan tengahari sijil sudah sedia di ambil di meja urusetia. Makan pun sedap, nasi gulai kawah resipi tentera. Kira berbaloi jugaklah bayar RM60 dapat balik RM100, makan tengahari percuma dan T-shirt.

Peta laluan. Renang (segitiga hijau 2X750m), Basikal (merah 4 x 11km) dan lari (kuning 10km pergi-balik).
Keputusan ku: renang 52min., kayuh 90 min., lari 84 min. Keseluruhan 3 jam 47 min.
Terima kasih buat isteri yang setia menunggu dan mengambil gambar. Mejar Kalam ajak ke PD pula 2 minggu lagi. Nak pergi ke tak nak?