Wednesday, October 1, 2008

Eid Mubarak

1 Syawal 1429 - Selamat Hari Raya, maaf zahir bathin. Begitulah ucapan tradisi rakyat Malaysia bila menyambut hari raya. Dulu kad raya dengan ucapan tersebut dihantar se awal puasa lagi. Aku masih meneriam beberapa keping kad raya, tapi setahun ke setahun semakin berkurang. Aku sendiri tidak menghantarnya kecuali yang percuma diberikan oleh jabatan. Ucapan raya sekarang kebanyakannya menggunakan internet atau sms. SMS nampaknya paling popular dan dikirim pada waktu semasa, 1syawal. Bermacam-macam gaya tulisan yang aku terima antaranya ucapan pantun yang berkaitan basikal seperti berikut;
Jangan lagak guna campagnolo
Kayuh pelan pun tak leh folo
Raya cekik sampai overflo
Kang nak kayuh balik siksa nanti bro

Selain itu,
Lemang lekat di celah gigi
Cari lidi korek sendiri
nak hantar kad raya postor dah cuti
SMS saja dapat diberi

Sempurnalah sudah ibadah puasa
Tibalah saat berhari raya maaf diberi ampun dipinta
Terguris hati tersalah kata
Tersilap faham lumrah manusia
Jari disusun di hari yang mulia
Luhurkan budi bersihkan hati
Salam aidilfitri





Friday, September 12, 2008

Kayuhan bulan ramadhan

Kayuhan dikurangkan di bulan ramadhan. Setakat ini aku hanya berkayuh pergi-balik pejabat dan bersiar-siar sebelah petang sambil melihat pasar ramadhan. Setelah 12 hari puasa mungkin hanya 4 jam sahaja aku berkayuh. Tiada langsung aktiviti renangan dan larian.

Pada awal ramadhan aku hampir tidak berkayuh, dan aku dapati badan ku sangat letih dan mengantuk, lalu kemudiannya aku mula berkayuh pergi-balik pejabat. Rupa-rupanya bila melahu (idle), degup jantung terlalu perlahan mungkin bawah 60 denyut/minit menyebabkan kita rasa malas olehkerana aliran darah yang perlahan. Jadi kayuhan dan joging perlu diteruskan walaupun berpuasa.

17 ramadan ialah cuti Nuzul Qur'an (diturunkan al-Qur'an) bagi Selangor dan beberapa negeri lain. Awal pagi berkayuh tepi Sungai Langat, depan UKM. Suasana pagi agak nyaman. Jumpa lembu dan kerbau baru bangun tidur. Terdapat juga perumahan kongsi pendatang Indonesia. Yang agak sedih tebing sungai dijadikan tempat pembuangan sampah.

Air sungai Langat yang keruh macam teh tarik akibat pencemaran oleh aktiviti manusia. Bunga matahari yang dibeli di Nursery Sg. Buluh.Pokok periok kera juga dibeli di Sg Buloh. Khabarnya ia suka makan nyamuk.

19 Ramadan: 11 mlm kayuh basikal bersama kumpulan dari kedai basikal Bike Xtrem ( N2 58.412 E101 46.283). Bazli yang menjemput aku kayuh sama setelah beliau membeli basikal dari kedai tersebut. Inilah kali pertama aku kayuh pada sebelah malam di bulan puasa. Mulanya agak berat nak ikut sebab aku tak biasa tidur lewat malam. Jam 1 pagi baru dapat tidur, nyenyak tidur kul 530 pagi bangun sahur, sempat makan sebiji kurma dan 2 cawan air kosong sahaja.

Kayuhan bermula dan berakhir di Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8. Awal-awal lagi mereka dah pecut, maklumlah orang muda. Aku cuma mengikut dari belakang saja, seronok juga. Walaupun sebulan tak buat henjutan ke degupan jantung maksimum tapi rasa masih selesa dan badan pun terasa ringan, mungkin kesan dari sebab berpuasa. Lebih 1 jam juga kami berkayuh untuk jarak 20km. Sejak itu hampir setiap hari aku kekal berkayuh pergi-balik ke pejabat. Pemandangan menarik matahari naik jam 0720 dari puncak bukit kat pejabat.
Ini ialah 5 jenis kurma Madinah yang dijual di depan pasaraya Bintang (dulunya Warta). Paling kiri ialah kurma termahal Ajwa (RM150/kg), kedua RM100/kg, ketiga RM70/kg, keempat RM40/kg dan kanan sekali RM35/kg. Aku beli 100g setiap jenis untuk merasa perbezaan.
27 ramadan, aku berkayuh selama 1/2 jam ke sekitar Mutiara Bangi, mendaki puncak tertinggi tempat pencawang elektrik. Dari situ aku mengambil gambar tangki air (atas) dan sebuah banglo cantik (bawah).
Sebuah banglo di lengkapi kolam renang. Tapi kolam ini tak sesuai untuk bersenam, sekadar berendam bolehlah.

Malam lepas tarawih, berkayuh ke Kg. Dato Abu Bakar Baginda dengan Uncle D (~20km). Uncle D dah banyak meningkat terutama ketika pendakian.

28 ramadan : pagi kayuh ke Sg. Merab kira-kira 1 jam.

Burung cantik yang jinak sekitar ladang lembu/ayam tepi Sg Langat depan UKM.

29 ramadan pagi - berkayuh sekitar Sg. Langat (garis kuning peta di bawah) - kira-kira 13km. Selain sampah seperti yang disebutkan sebelum ini, banyak tahi lembu sepanjang tepi sungai. Sesiapa yang nakkan baja tahi lembu bolehlah menyusuri sungai langat ini. Ada beberapa ekor anjing tapi tak garang dan melarikan diri bila melihat kita. Ada jambatan besi merentasi sungai yang ditutup tapi boleh dilalui oleh pejalan kaki atau pengayuh basikal yang menghubungkan seksyen 4 dan 5. Alangkah baiknya jika laluan tepi sungai ini dijadikan laluan joging atau berbasikal. Kena beritahu Dato Hasan Nawawi (MPKj) atau ajak dia berkayuh ke sini supaya dia tahu betapa pencemaran sungai dilakukan tanpa belas kesihan.

30 ramadan - pagi berkayuh menyusuri Sg. Langat hingga ke Sg. Semenyih sejauh 26km (2jam). Laluan ini telah diperkenalkan oleh Uncle D. Semasa balik cadang nak menyusur sebelah tebing satu lagi, tapi terpaksa dibatalkan kerana sampai di satu perkampungan Cina (aku namakan banglo anjing), kelompok anjing yang banyak (lebih 10 ekor) tak mampu untuk ditembusi.

Persimpangan Sg Langat (kiri) dan Sg Semenyih (kanan).

Kelihatan sekelompok sampah yang dibuang oleh pembuang sampah amatur.
Kelompok sampah yang agak banyak dibuang oleh pembuang sampah profesional.

Begitulah kayuh terakhir aku di bulan puasa tahun ini. Dalam perjalanan pulang, aku singgah beli lemang sedap (simpang Teras Jernang) sebanyak 3 batang dan kemudian diikat pada palang atas basikal. Memang sedap lemang kat situ (lihat peta), pernah disyorkan oleh Dr. Huda (pakar hadis) semasa kami berkunjung raya ke rumahnya pada raya tahun lepas.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF, ZAHIR DAN BATIN KEPADA SEMUA PEMBACA BLOG SAYA. InsyaAllah ramadan tahun depan jumpa lagi.

Tuesday, September 9, 2008

Kedutaan Pakistan

Semalam aku ke kedutaan Pakistan, Jalan Ampang (tak jauh dari KLCC) untuk mendapatkan visa. Aku kena pergi Pakistan pada 4/10/08 nanti untuk tempoh seminggu. Nasib baik jugalah ada kawan sepejabat Suhairy ikut sama. Agak risau juga nak pergi, memandangkan politik Pakistan masih belum stabil. Seronok pun ada. Kami pergi atas biaya Bangsa-Bangsa Bersatu. Bagaimanapun kena tunggu 'security clearance' dari Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kedutaan Pakistan cukup mesra dengan pemegang paspot Malaysia. Mereka dahulukan kami sebagai tetamu mereka. Mudah untuk mendapat visa, ada paspot sah untuk lebih 6 bulan, isi borang, gambar 2 keping, surat sokongan/jemputan, bayar RM50. Mohon pagi, petang dah boleh ambik.

Nota: Rancangan ke Pakistan terpaksa ditangguhkan ke suatu masa yang tidak pasti selepas kejadian letupan bom di hotel Marriot, Islamabad tempoh hari.

Saturday, September 6, 2008

Rumah untuk dijual

Rakan berbasikal kita Sdr Zamani (arkitek) dari Syarikat Rumpun Ehsan Sdn. Bhd. telah melancarkan projek pembinaan rumah di Sg Merab dan Salak Tinggi. Atas desakan anak dan isteri aku cadang nak beli sebuah rumahnya di Salak Tinggi. Abang Razak Jaafar (sifu basikal) pun sudah menjadi jiran Zamani di Salak Tinggi. Sesiapa yang berminat bolehlah melayari lamannya http://www.rumpunehsan.com/ atau terus menghubungi taukenya Sdr Zamani 019-3505215.

Monday, September 1, 2008

Tangki Air Bocor

1 Ramadhan - Sempena cuti hari kebangsaan yang diganti kepada hari Isnin, aku mengambil peluang untuk membaiki tangki air yang bocor. Ini kali kedua tangki air yang berumur lebih 21 tahun ini bocor. Tanda kebocoron kelihatan pada siling. Peringkat awal hanya lembap tapi hari ini air sudah menitis sedikit demi sedikit.Kesan berair pada bawah tangki menunjukkan kedudukan retakan.

Setelah tangki air dikosongkan dan dibersihkan, retakan boleh kelihatan dari dalam tangki di tempat dimana air menitis. Kali ini retakan agak panjang. Beberapa lubang sepanjang retakan ditebuk dengan gerudi terlebih dahulu bagi tujuan mematikan tegasan pada retakan agak ianya tidak terus memanjang.Bitumen (tar) disapu pada sepanjang retakan.Akhir sekali 'flexible water proof sealer' disapukan pada bahagian dalam tangki. Bahan ini ialah seperti simen berwarna kelabu (water based) disapu seperti menyapu cat. Oleh kerana ianya water-based maka kenalah tunggu sampai kering. Mungkin 24 jam diperlukan. InsyaAllah besuk bila air diisi ianya tidak bocor lagi. Nak menukar tangki kosnya tentu agak mahal sebab bumbung terpaksa dibuka untuk mengeluar tangki lama dan memasukkan tangki baru.

Setelah air diisi semula, masih terdapat kebocoran, nampaknya 'flexible water proof sealer' dahlah mahal (RM25) tidak langsung membantu menutup kebocoran. Bitumen lebih praktikal, murah (RM5 setin) dan senang digunakan, boleh dilekapkan ke tempat bocor walaupun tangki dipenuhi air.

Sunday, August 31, 2008

Syaaban 29

Kebetulan tahun ini 31 Ogos bersamaan 29 Syaaban. Cuti 31 Ogos besuk dikira juga sebagai cuti menyambut kedatangan ramadhan. Tiada aktiviti kayuh hari ini, sepanjang pagi buat 5S, gotong royong anak beranak mengemas dan membersih rumah, buang barang-barang lama, bersih kolam ikan. Hanya semalam merupakan kayuhan terakhir sebelum ramadhan. Berkayuh basikal gunung menyusuri Sg. Langat, ke Teras Jernang, Sg. Merab, sehingga ke Kg Limau Manis. Sempat memasuki sedikit kebun getah. Hampir terperangkat di satu lembah yang tidak dikunjungi manusia. Ingatkan ada jalan keluar tapi jalan sudah tertutup terpaksa berpatah balik.
Kg Limau Manis mempunyai profail menarik untuk kayuhan.

Garis merah ialah laluan kayuhan semalam. Ada kebun getah yang sesuai untuk laluan basikal gunung. Dari puncak bukit ini, boleh nampak jalan ke Sg Merab. Aku ingin buat jalan pintas. Tapi terperangkap di lurah ini. Lurah yang ditimbun dengan pokok-pokok yang telah ditolak oleh jentolak. Aku menuruni cerun ini dengan memikul basikal dan menolak dengan meletak basikal atas timbunan pokok-pokok mati yang ditolak jentolak merata tanah. Setelah menuruni cerun aku cuba mencari laluan keluar tapi agak malang kerana jalan telah tertutup dengan pokok-pokok yang tebal. Terpaksa memanjat balik cerun yang ditimbun dengan pokok-pokok yang ditolak ke tebing. Separuh tenaga aku digunakan untuk ini. Letih dan dahaga tak terkira.
Tidak senang menarik basikal ke atas reba kayu mati ini. Satu pengalaman baru, jika jalan tak pasti jangan diharungi, fikirkan dengan tenaga dan bekalan makanan/air yang ada.
Setelah tiba di atas jumpa abang ni, bertanyakan dia jalan pintas yang lebih mudah. Beliau juga bagikan air kosong mengisi botol air aku yang dah habis. Jalan atas bukit ini juga boleh sampai ke Alamanda.
Jumaat malam lepas sempat menyaksikan persemabahn bunyi api di PICC. Tak pandai aku nak ambil gambar, berapa kelajuan yang sesuai. Kalau tak silap, ini aku set 1/6 saat.
Ini ialah daun Naga Buana, baik untuk merawat terseliuh atau patah tulang. Daun ini digunakan untuk membalut tempat tercedera bagi mengelakkan bengkak. Khamis lepas isteriku terseliuh buku lali ketika menuruni tangga, lalu aku bawanya berjumpa abang Taufik di Beranang (N2 52.176 E101 51.253) untuk berurut. Alhamdulillah selepas diurut dapatlah berjalan dengan lebih mudah dan sakit pun berkurang. Malam sebelum tidur, daun Naga Buana dilayukan dengan api dan dibalut pada buku lali yang terseliuh.

Friday, August 22, 2008

Senaman Pra Ramadhan

Sabtu 23/8/08 - mendaki 1/3Nuang bersama keluarga (Pauzi, Foziah, Sakinah, Syazana, Omar, Salihah & Surayya) sambil makan-makan dan menikmati kelembapan/kesejukan hutan tropika. Jarak 5+km, ketinggian 500+m. Mula mendaki 0900 dalam hujan renyai dengan pacat menjalar mencari mangsa. Siapa yang tak bernasib terkenlah gigitan pacat. Inilah kebiasaan masuk hutan, pacat dan nyamuk ialah kawan rapat. Kami tiba di Kem Lolo jam 1100.
Pokok apa pula ni, buah di batang? Buahnya macam buah Ara. Kalau di Kelantan buah Ara dimasak bersama gulai kambing bagi menghilang bau hamis kambing. Kambing kampung biasanya kecil jadi untuk banyakkan gulai, biasanya buah Ara dilebihkan. Aku suka buah Ara ni, sikit dagng pun tak pa. Kali terakhir bapaku buat gulai kambing, buah Ara diimpot dari Gua Musang melalui abang yang tinggal di Ciku 3. Buah Ara ni pun semakin pupus dan susah nak cari, biasanya tumbuh di tepi sungai.
Cantik pokok yang melekat di pokok ini. Inagtkan bunga tapi rasanya ia adalah parasit.

Isteri dan anak-anak bergambar setiba di kem Lolo. Anak-anak semua dah baligh, entah bila mereka akan kahwin.
Lebih kurang 1 jam kami berehat makan roti sandwich dan mandi-manda di jeram, kem Lolo. Airnya sejuk dan menyegarkan, masih bersih. Jam 1215 bertolak pulang. Sempat membeli buah-buahan seperti durian, rambutan, manggis, keledek dan rambai di Pangsun dan batu 18.

Ahad 24/8/08 - berbasikal jalan bersama ibrahim, sham, faizul dan otai-otai Kajang (http://cyclingaddicts.blogspot.com/). Laluan: rumah-UNITEN-Kg. Dato Abu Bakar Baginda-Sg. Merab-Pinggiran Putrajaya-Dengkil-Jenderam Hilir-Sg. Buah-Teras Jernang-rumah= 55km.

Beberapa istilah zaman sekarang;
Otai = orang lama/tua yang masih aktif? Kadang-kadang kekuatan otai ni mengalahkan orang muda.
Budak banjir = budak perempuan yang menutup separuh aurat mereka, semuanya singkat- seluar, baju dan tudung.