Saturday, February 28, 2009

Latihan Safar 1430

Purata latihan jasmani bulan Safar ialah 1.5 jam sehari sama seperti bulan lepas.

Percubaan Towerthon

Besuk ialah larian Towerthon 09 di menara Kuala Lumpur. Semalam dan hari ini ialah larian percubaan. Semalam aku dan isteri telah ke sana untuk larian percubaan. Kira-kira 45min juga masa yang diambil untuk berjalan ke puncak. Kalau tak silap ada lebih 24 tingkat semuanya. Suasana agak tidak selesa dan sempit dengan pemandangan dinding konkrit.


Monday, February 23, 2009

Jejak Basikal di Perlis

Kayuhan ke Satun telah memperkenalkan aku kepada Abg Rohani (Rons) yang kemudiannya memperkenalkan kepada beberapa lagi kaki kayuh. Ahad semalam aku telah berkayuh (0ff-road) ke Wang Angin dan Wang Panjang bersama Sham, Mad dan Amir. Rons tak dapat ikut kerana lidi rim belakang basikalnya patah semasa berkayuh pulang dari Satun. Beliau tiba jam 9 mlm selepas berkayuh sejauh 175km. Beliau memang jenis pengembara. Beliau pernah berkayuh dari Kangar memasuki Thai dan menyusuri pantai barat Thai sehingga ke sempadan Myanmar (Burma). Pada cuti 1 Mei 09 nanti beliau merancang untuk buat kayuhan ke Thai - program 2 hari 1 malam. Sesiapa berminat dengan aktiviti kembara dengan basikal bolehlah menghubungi beliau ronsadvantures@hotmail.com atau 0194456578. Beliau banyak faham tentang negara Thai dan kerap masuk ke sana. Gelung Hijau bawah ialah Wang Angin. Gelung hijau atas ialah Wang Panjang (atau dikenali juga Wang Pacat).

Profail Wang Angin. Laluan lebar yang curam. Kebanyakannya aku menolak basikal sahaja.

Profail Wang Pacat. Laluan sempit, curam dan teknikal. Kebanyakannya aku menolak basikal juga. Berihat seketika di puncak Wang Angin sambil berbual dengan kumpulan MotoX. Abg Mad (pencen askar) rambut putih tu kira boleh tahan juga kuat.

Cikgu Amir ni cukup bertenaga ketika mendaki dan menurun cerun.

Tayar belakang basikal Sham terlucut selepas menuruni cerun Wang Pacat. Perlu basikal yang lasak untuk jejak ini.

Pagi ini sebelum pulang ke Bangi, Rons ajak berkayuh makan angin melalui jalan-jalan kampung. Laluan jalan kampung ni agak panjang dari Kangar hingga ke Wang Kelian menyusuri lereng bukit Batu Kapur yang bersempadan dengan Thai.

Gelung kuning ialah laluan jalan kampung bertar yang kami lalui (30km) iaitu melalui bendang padi, kebun getah, kebun durian, hutan jati, hutan simpan.

Ada sedikit berbukit iaitu kaki bukit Bintang. Agak mengah juga nak kejar Rons. Kayuhannya nampak relak tapi laju. Begitulah kayuhan orang yang berpengalaman.

Lepas kayuh kami minum bersama rakan lama Azman (triatlet) dan Cikgu Fikri. Cik gu Fikri merancang untuk mengembara 8 hari dengan basikal ke Laos pertengahan tahun ini.

Thursday, February 19, 2009

Kayuhan Kangar-Satun

Besuk 24 Safar aku balik rumah isteri di Kangar bagi menemani anak untuk temuduga PTD. InsyaAllah kalau tak ada apa aral nak kayuh ikut Perlis Power MTB club yang akan berkayuh dari Kangar ke Satun, Thailand pada hari Sabtu 25 Safar.
Peta dan profail laluan Kangar-Satun


Kumpulan Perlis Power siap sedia untuk berkayuh ke Satun. Ketua rombongan Ari (kanan sekali) membekalkan setiap peserta dengan sebotol air cap badak, powergel dan power root madu kurma. Semuanya 13 orang. 11 orang berkayuh ke Satun, Tamalang dan menaiki perahu ke Kuala Perlis. Jumlah jarak kayuhan 100km. Rohani dan Zul berpatah balik dengan berkayuh melalui jalan yang sama menjadikan jumlah jarak kayuhan 175km.

Berihat di puncak bukit Wang Kelian sambil menunggu rakan-rakan lain.

Pasar Wang Kelian
Melepasi imigresen Malaysia untuk memasuki Siam.
Berihat seketika tak jauh dari Satun sambil menunggu rakan-rakan lain di persimpangan jalan.
Cucuk angin belakang En. Zul yang kuat. Zul ialah bekas atlet lumba basikal yang pernah menyertai Jelajah Malaysia.
Entah macam mana boleh jadi gambar begini.
Masjid di Pekan Satun
Fazli pelajar Unimap begitu penat setelah kira-kira 70km berkayuh. Pahanya krem beberapa kali -maklumlah masih baru.
Nik Ahmad Kamil dan Ari (berkayuh).
Aku, Ari, Nik dan Fazli tiba di Pelabuhan Tammalang kira-kira jam 4 ptg. Yang lain telah tersalah jalan dan tiba 1 jam kemudian.
Aku dan Nik bergambar bersama taukeh restoran (juga peminat basikal gunung) di jeti Tammalang.
Elywn tiba di Tammalang menuju ke jeti. Aman, tiada lagi perang tapi kasih sayang.
Menaiki bot pulang ke Kuala Perlis. Kami tiba di Kuala Perlis kira-kira jam 6 ptg dalam hujan yang menyegarkan.
Terima kasih kepada Perlis Power kerana sedia menerima saya ikut serta.

Tuesday, February 17, 2009

Vertigo

Vertigo ialah satu penyakit yang menyebabkan seseorang tidak dapat mengimbangkan badannya. Aku mendapati penyakit ini sehari selepas mendaki Nuang. Kali ini latihan agak keras. Aku kebanyakannya berlari semasa menurun dan berjalan laju semasa mendaki. Banyak kali telinga ku terasa berdengung. Mungkin disebabkan oleh perubahan ketinggian atau kadar degupan jantungku pada paras maksimum untuk tempuh yang lama. Kebiasaannya jika aku berjalan dari kaki gunung hingga ke kem Lolo masa yang diambil ialah 2 jam (iaitu 4jam pergi-balik). Tapi ahad lepas aku ambil masa 1jam mendaki dan 1jam menurun.

Simptonnya ialah selepas bangun tidur aku dapati diriku seolah-seolah berpusing. Lepas sarapan aku muntah serious sehingga mengeluarkan muntah hijau (1/2 hari muntah). Sakit sungguh terasa macam dah nak sampai ajal. Muntah baunya cukup busuk diri sendiri pun rasa tak selesa apatah lagi orang lain. Yang peliknya kucing pula suka muntah. Ia menjilat-jilat muntahku yang dibuang ke dalam longkang dan kemudiannya datang lagi dekatku sambil menjilat kakiku dan badanku hingga ke muka ku. Terasa terhibur dan geli pula.

Inilah 'hitam' namanya yang suka menjilat muntahku. Anakku kata memang kucing ni suka makan benda-benda kotor. Tapi badannya sentiasa dijilat bersih.

Semalam jumpa Dr. Borhan di Kajang. Tekanan darah didapati masih normal 110/70. Pagi ni jumpa pula Dr. Mahalim di Klinik Sham, Sg Ramal. Dr. Mahalim ni kawan sekolah masa tingkatan 4 dan 5 dan semasa matrikulasi di Sekolah Menengah Alam Shah. Lama dah tak jumpa beliau, tapi nampaknya masih sihat dan slim macam dulu. Aku ingat masa sekolah dulu kalau berjalan bersamanya, dia suka berjalan laju dan cukup serious tentang pelajaran. Kesungguhannya belajarnya, sehingga ia kerap tidur di bilik belajar. Dia memilih jurusan perubatan, aku memilih sains fizik. Aku takut bedah-membedah. Beliau memeriksa agak perinci. Tekanan darah ku rendah (hanya 90), begitu juga kandungan gula dalam darah rendah. Rasanya mungkin sebab muntah-muntah yang berlebihan.

Jika sakit ini bukan kerana terlebih bersukan (kerana keturunan -sebab adikku pun sesekali ada simpton begini), maka tiada apa yang aku dapat lakukan selain mengharapkan penyembuhan dari Allah swt dengan memakan ubat yang disarankan doktor. Jika sebaliknya maka aku kena fikirkan semula tentang latihan yang dibuat. Kemungkinan juga sesi pemulihan selepas kepenatan tidak mencukupi atau salah. Sebenarnya selepas beraktiviti keras aku sepatutnya mengambil diet yang sesuai seperti meminum air bergaram dan memakan makanan bagi pemulihan protin. Aku rasa, aku telah melakukan kesilapan kerana terlalu lahap memakan durian (4 biji mungkin agak berlebihan). Durian ada gas yang mungkin memberi tekanan pada sistem saraf. Aku rasa berangin dan berat kepala selepas makan durian. Kentut pun tiada.

Hari ketiga nampaknya penyakitku ini beransur pulih, kalau tak Dr Mahalim cadangkan agar aku berjumpa pakar ENT di hospital. Bangun tidur agak takut-takut untuk bangkit tapi alhamdulillah tiada apa-apa. Aku dapat 3 hari MC, bolehlah relaks. Mungkin besuk baru mula bersenam seperti biasa dengan keamatan yang ringan.

Monday, February 9, 2009

LtdL 2009

Pagi ini LtdL 2009 peringkat 1 bermula dari Bangunan Mahkamah, Putrajaya. Permulaan sebenar bermula selepas memasuki lebuhraya menghala Cyberjaya selepas melalui PICC. Kami menunggu di jambatan ini untuk mengambil gambar.
Hakim perlumbaan berada di hadapan. Cantik motonya.
Kereta Cavalcade VW boleh tahan juga.
Polis trafik mengawal laluan. Mereka memain peranan sangat penting bagi mengawal lalulintas, terutama para pengguna jalanraya Malaysia yang tak sabar.
Kereta Cavalcade proton satria Neo pun apa kurangnya - nampak 'sporty'.
Pelumba masih relak dalam zon neutral ini.
Pelumba senior Ahmad Falani (kiri).
Aksi pecutan ('break away') sudah bermula di Bandar Baru Bangi kerana zon sprint1 di Kajang sudah tak berapa jauh lagi.
Kelompok depan di Bandar Baru Bangi. Pelumba Malaysia (baju biru) pun berada dalam kelompok ini.
Kelompok utama di Bandar Baru Bangi.
Kereta-kereta penyokong/pembantu.
Persiapan di Sprint3, Pekan Nilai Lama. Alat pengesan pelumba dipasang.
Pelumba Malaysia Mohd Akmal Amrun menjuarai Sprint3 di Nilai tiba jam 12:29.
Kelompok ramai tiba di Nilai jam 12:32. Pelumba Malaysia (baju oren), kalau tak silap Falani dengan basikal Cannondale.
Anggota media memikul kamera-kamera canggh. Untuk peringkat 1 ini kami sempat berada di 3 tempat laluan LTdL iaitu Putrajaya, Bandar Baru Bangi dan Nilai.

*Gambar2 selanjutnya boleh dilihat pada pautan berikut: http://www.flickr.com/photos/omp_production/sets/72157613543090978/

Gerhana Bulan

Gambar bulan diambil di antara pukul 10:15 hingga 11:10 malam dengan tiga dedahan berbeza.

Malam ke 14 Safar 1430 dikatakan akan berlakunya gerhana bulan (bermula 8:36 hingga 12:30 mlm). Apa yang dapat lihat dengan mata kasar ada sedikit cahaya kebiruan berbentuk bulat mengelilingi bulan (penumbra) tersebut. Cahaya tersebut tidak dapat dilihat dengan jelas pada gambar foto di atas tetapi setelah dibesarkan gambar tersebut cahaya kebiruan yang mengelilingi bulan akan kelihatan.

Saturday, February 7, 2009

Gunung Angsi N9

Hari ini 11 safar aku bersama keluarga mendaki Angsi yang terletak di Ulu Bendul, Bukit Putus, Negeri9. Mula mendaki ikut Ulu Bendul jam 0810. Masih agak gelap lagi suasana hutan simpanan kekal waktu ini. Kami menyusuri tebing sungai, banyak jumpa semut hitam juga beberapa pacat. 2 ekur sempat bergayut di kaki, cuma seekor sempat menghisap darah ku. Oleh kerana aku ni agak geli geleman dengan pacat ni aku tak biarkan terus aku buang. Bekas gigitan pacat terus aku tutup dengan plaster. Guna plaster ada baiknya, darah taklah meleleh keluar dan mengotori stokin.

Ini sebagai latihan kami untuk tujuan kesihatan (mengurangkan lemak dan menurunkan tekanan darah) dan rancangan kami untuk KL towerthon sebulan lagi. Minggu depan insyaAllah ke Nuang pulak. Gunung Nuang, Angsi dan Datuk merupakan gunung-gunung kegemaran kerana ianya dekat dengan rumah dan boleh didaki dalam tempoh yang pendek (kurang 1/2 hari).
Omar mengambil gambar saya, isteri (Foziah) dan anak sulung Sakinah sebelum mendaki.


Ini pemandangan biasa di tempat perkelahan di negara kita. Hanya rajin membawa masuk tapi malas membawa keluar.

Antara cabaran Angsi, perlu bergayut pada tali untuk naik ke atas.

Omar menikmati roti sandwich di puncak Angsi (836m).

Pandangan dari puncak Angsi (arah Timur)Pandangan dari puncak Angsi (arah Barat)
Berehat di puncak

Bergambar dengan tentera darat dari kem Port Dickson yang kebetulan membuat latihan di hutan Ulu Bendul. Mereka hanya mengambil masa 1 jam untuk sampai ke puncak dari Ulu Bendul, sedangkan kami 3.5jam.

Antara pokok-pokok menarik yang sempat dirakam dengan kamera digit menggunakan lensa nikkor 50mm, f/4, 1/125, ISO100.

Profail pendakian dan penurunan. Laluan berbeza untuk mendaki dan menurun. Mendaki dimulakan dari Ulu Bendul manakala menurun keluar di Bukit Putus.

Antara Nuang, Datuk dan Angsi semuanya berbeza dari segi profail, atmosfera, basah, kering, bau, dll. Begitulah hebatnya ciptaan Ilahi.